Bilangan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes terus meningkat setiap tahun. Pada tahun 2006, dianggarkan kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa hidup dengan diabetes. Malangnya keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey atau NHMS) 2011 yang bakal diterbitkan pada bulan Disember 2011 menunjukkan bilangan ini kini telah mencapai lebih 3 juta rakyat Malaysia, hanya dalam tempoh 5 tahun sahaja. Apa yang lebih merisaukan adalah bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi tetapi masih belum diperiksa oleh doktor, iaitu kira-kira 2 juta individu dewasa. Ini menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.
Diabetes adalah satu penyakit yang senyap (silent disease) pada peringkat awal. Majoriti individu dengan diabetes tidak mengalami sebarang gejala, kadang-kala sehingga 7-10 tahun dari penyakit mula terjadi. Namun begitu, jika individu tersebut menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap, keputusan gula dalam darah yang tinggi mampu dikesan dari tahun pertama penyakit diabetes bermula. Jika diabetes dibiarkan berlanjutan tanpa dikesan, penyakit ini lebih sukar untuk dikawal dan risiko komplikasi diabetes seperti buta, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk adalah tinggi.
Faktor-faktor risiko utama diabetes adalah:
- Mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap diabetes
- Berlebihan berat badan atau obes (BMI >23.0 kg/m2)
- Menghidap hipertensi
- Mempunyai tahap kolesterol yang tinggi
- Gaya hidup yang sedentari atau tidak aktif
- Bagi wanita yang mempunyai sejarah diabetes semasa mengandung (atau gestational diabetes)
Adalah disarankan agar semua rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun dan ke atas untuk menjalani ujian saringan faktor risiko NCD (non-communicable disease atau penyakit tidak berjangkit) setiap tahun. Ujian saringan asas ini merangkumi pemeriksaan tekanan darah, aras gula dan kolesterol dalam darah, pemeriksaan BMI (body mass index) dan ukurlilit pinggang. Namun begitu, jika anda mempunyai sebarang faktor risiko di atas, maka anda perlu mula menjalani ujian saringan seawal umur 20 tahun.
BERTINDAKLAH SEBELUM TERLAMBAT.
No comments:
Post a Comment